Golongan bujang harus bersyukur terima BSH dari kerajaan PH

BERITA baik untuk golongan bujang di Malaysia apabila Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng mengumumkan Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk golongan tersebut dikembalikan.

Kementerian Kewangan akan membuat bayaran RM100 kepada setiap individu yang terdaftar di bawah kategori bujang dalam pangkalan data Bantuan Sara Hidup (BSH) 2018 pada hujang Mac ini.

Lim Guan Eng berkata, bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima dan bantuan berkenaan memberi manfaat kepada lebih tiga juta individu dengan peruntukan sebanyak RM300 juta.

Beliau menjelaskan, berhubung dengan bayaran selanjutnya, kadar bantuan BSH bagi 2019 untuk golongan bujang akan dikaji semula dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum ianya dimuktamadkan.

“Berdasarkan keputusan Kabinet pada tahun lalu, Kerajaan telah menyediakan BSH pada tahun ini dengan mengutamakan keluarga dan telah menyediakan kadar tambahan mengikut bilangan anak di bawah tanggungan.

“Namun begitu, Perdana Menteri telah menekankan bahawa isu tekanan kos sara hidup perlu diberi perhatian bagi semua yang berkeperluan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah menyarankan supaya turut dibantu anak muda yang belum berkahwin dan bekerja tetapi berpendapatan kecil.

Katanya, lantaran saranan tersebut dan menepati hasrat kerajaan berjiwa rakyat yang berkeprihatinan, kerajaan telah memutuskan sebagai permulaan akan membuat bayaran sebanyak RM100 kepada setiap individu yang terdaftar di bawah kategori bujang dalam pangkalan data BSH 2018.



Sumber: cempedakcheese.com