Feri terbakar, semua penumpang disahkan selamat

ALOR SETAR – Kira-kira 52 penumpang feri yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Perlis dekat sini cemas apabila pengangkutan tersebut terbakar di perairan Langkawi petang ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, semua mangsa diselamatkan bot-bot yang berada berhampiran.

Beberapa rakaman video yang viral di Facebook menunjukkan kebakaran di bahagian belakang feri dan puluhan penumpang yang memakai jaket keselamatan dilihat cemas menunggu giliran untuk dipindahkan ke bot lain.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 2.48 petang ini dan tiba di lokasi lapan minit kemudian.

“Kebakaran melibatkan sebuah feri Dragon Star 1 dan maklumat awal menyatakan terdapat mangsa yang terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra dan BBP Langkawi telah digerakkan bersama dua bot penyelamat serta satu bot kevlar selain aset Maritim Malaysia (APMM) dan bot nelayan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, kejadian berlaku berhampiran hotel The Westin Langkawi Resort & Spa, Jalan Beringin iaitu kira-kira tiga kilometer dari kawasan pantai

Tambahnya, kesemua mangsa berjaya diselamatkan bot-bot yang berada berhampiran dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan setakat ini.

“Kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan dengan mengarahkan anggota bomba masuk ke dalam feri bagi memastikan tiada mangsa terperangkap di samping membuat pemadaman menggunakan tiga pancutan

Difahamkan, kebakaran bermula dari bahagian belakang enjin feri penumpang tersebut. – K! ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com