Dr Wan Saleha terima Anugerah Saidatina Aisyah

KUALA NERUS – Pengamal perubatan, Dr. Wan Saleha Wan Ishak, 66, dipilih menerima Anugerah Saidatina Aisyah sempena Hari Wanita peringkat negeri di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Pengiktirafan itu diberikan atas sumbangan dan jasa anak jati Besut, Terengganu ini sepanjang hampir 40 tahun terlibat dalam bidang perubatan termasuk menjadi doktor wanita pertama dari daerah berkenaan.

Wan Saleha yang mengusahakan klinik swasta di bandar raya ini membawa pulang sijil penghargaan berserta wang RM1,000.

Dalam majlis sama, pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Maryam Taib menerima Anugerah Ilmuan manakala Rosemunainah Noor Assmuni (Anugerah Bakti); Hasmah Abd. Rahman (Anugerah OKU Cemerlang) dan Anugerah Ikon Remaja diberikan kepada Wan Nur Mafudah Wan Yusof.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Yang hadir sama, isterinya, Tuan Faizah Tuan Abd. Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md. Noor.

Hari Saidatina Aisyah yang julung kali diadakan sempena Hari Wanita peringkat negeri ini bertujuan menghargai peranan dan sumbangan kaum hawa di samping menjadi platform bagi membincangkan isu-isu berkaitan wanita dan pemasalahan ummah.

Sementara itu, Wan Saleha ketika ditemui pemberita berkata, pengiktirafan tersebut merupakan yang tertinggi pernah dimiliki sepanjang kerjayanya dan menjadi pemangkin untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Saya terharu dengan penganugerahan yang terlalu besar ini kerana sumbangan saya tidak setanding dengan jasa dan pengorbanan Saidatina Aisyah.

“Bagaimanapun, saya berharap kejayaan ini dapat dijadikan inspirasi bersama oleh seluruh wanita di negeri ini supaya bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh untuk memperoleh rahmat di dunia dan akhirat kelak,” kata ibu kepada empat anak dengan tiga daripadanya mengikut jejak langkahnya bergelar doktor. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com