PUTRAJAYA – Mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan untuk meluluskan diskaun tambang sebanyak 20 peratus kepada penumpang perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) komuter bermula 1 April depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, diskaun itu melibatkan lima jajaran perjalanan perkhidmatan tersebut iaitu Pelabuhan Klang – Tanjung Malim, Batu Caves – Seremban, Padang Rengas – Butterworth, Butterworth – Padang Besar dan Sungai Gadut – Tampin.
Jelasnya, penumpang yang melakukan pembayaran secara tanpa tunai yang sebelum ini telah memperoleh diskaun sebanyak 20 peratus turut mendapat tambahan pengurangan harga sama sekaligus menjadikan pengurangan tambang 40 peratus.
“Pengurangan kadar tambang komuter itu merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat menggunakan perkhidmatan itu secara harian.
“Diskaun tersebut diberikan tempoh setahun dan ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 94,000 penumpang di kelima-lima jajaran perjalanan setiap hari,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Siew Fook, diskaun yang diberikan itu memberi implikasi kewangan sebanyak RM43 juta setahun dan jumlah tersebut akan ditampung oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC).
Jelasnya, diskaun itu akan disemak semula setiap tahun dalam usaha untuk menambahkan jumlah penumpang yang menggunakan pengangkutan awam khususnya komuter.
“Dengan diskaun sebanyak 20 peratus ini, kita menyasarkan peningkatan daripada 94,000 penumpang kepada 120,000 orang yang menggunakan perkhidmatan tersebut setiap hari.
“Diskaun itu akan bertambah dari masa ke semasa dalam usaha untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya. – K! ONLINE
Sumber: cempedakcheese.com