REMBAU – Dr. S. Streram mengakui misinya adalah untuk menewaskan Datuk Seri Mohamad Hasan jika beliau dipilih bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau itu berkata, beliau sememangnya menyimpan hasrat tersebut sejak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei tahun lalu.
“Memang cita-cita saya hendak kalahkan Tok Mat (Mohamad). Dari PRU-14 saya mahu bertanding dengan Tok Mat. Saya sangat gembira kalau cita-cita itu dicapai dalam pilihan raya kecil (PRK) nanti.
“Saya bertanding untuk kalahkan lawan saya, tak kira siapa pun dia. Ada orang kata kalau Tok Mat kalah akan melemahkan UMNO tetapi itu hal parti mereka, saya tak mahu komen. Yang penting adalah kemenangan PH,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini
PRK DUN Rantau perlu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan semalam menolak rayuan Mohamad berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangannya di kerusi itu dalam PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah.
Dalam PRU itu, Timbalan Presiden UMNO tersebut menang tanpa bertanding selepas Streram dihalang masuk ke pusat penamaan calon di sini ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya.
Dalam pada itu, Streram berkata, beliau akur sekiranya tidak dicalonkan dan menghormati keputusan pucuk pimpinan PH walaupun telah turun padang di DUN Rantau sejak tiga tahun lalu.
“Saya tak akan bertanding sebagai calon bebas sekiranya tidak dipilih. Saya sentiasa sokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan hormat peraturan parti. Saya akan kerja kuat untuk kemenangan parti kalau saya tidak dipilih.
“Bagaimanapun saya fikir calon paling baik adalah saya. Saya sudah berkhidmat selama tiga tahun dan kenal pengundi di Rantau. Saya tak nampak sebab kenapa saya tidak dipilih,” tambahnya.
Anwar semalam berkata, calon yang bertanding di kerusi DUN Rantau akan dibincangkan oleh Majlis Presiden PH, namun menjelaskan bahawa secara tradisi kerusi berkenaan ditandingi calon PKR.
Mengenai kenyataan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang mahu PH meletakkan calon wanita, Streram berkata, ia sekadar pandangan pemimpin berkenaan untuk memartabat dan memperjuangkan golongan tersebut. – UTUSAN ONLINE
Sumber: cempedakcheese.com