SEMENYIH – Rancangan kerajaan untuk mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang daripada syarikat konsesi bukan satu tindakan bagi meraih undi.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, keputusan itu telah dibuat sebelum waktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bermula di mana beliau dimaklumkan mengenai perkara ini oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng beberapa minggu lalu.
Tambahnya, keputusan kerajaan itu merupakan langkah baik yang dapat meringankan beban rakyat.
“Saya tak tahu tapi saya tengok rancangan itu, Menteri Kewangan beri maklum pada saya dalam dua, tiga minggu yang lalu untuk mempersiapkan perinciannya.
“Jadi saya tidak fikir begitu (raih undi) sebab kerajaan dah berbincang awal,” katanya kepada media selepas menghadiri program Rumah Terbuka Chap Goh Mei di sini pada Sabtu.
Mengenai kaedah kutipan tol mengikut waktu, Anwar menyambut baik cadangan itu sambil menyifatkannya sebagai kaedah yang dapat membantu rakyat.
Pada Sabtu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan akan mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang yang dikendalikan syarikat konsesi Gamuda Berhad.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa kaedah kutipan tol sedia ada akan digantikan kepada satu kaedah baru dengan kadar yang lebih rendah.
Kaedah kutipan tol baharu itu akan dilaksanakan mengikut tiga pecahan masa iaitu waktu puncak, waktu biasa dan waktu bukan puncak.
Empat lebuh raya itu adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART, yang dipegang secara majoriti oleh Gamuda.
Sumber: cempedakcheese.com