Adib cedera parah mungkin bukan akibat serangan, kata pakar bedah

SHAH ALAM – Doktor kanan sebuah hospital swasta yang merawat Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim dalam keterangan hari ini berkata, kecederaan yang dialami anggota bomba itu mungkin bukan diakibatkan oleh serangan.

Perunding Kardiotorasik Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr. Anand Sachithanandan bagaimanapun berkata, antara beberapa kecederaan di bahagian sebelah kanan dada itu, berkemungkinan akibat kemalangan, jatuh dari tempat tinggi, libasan atau rempuhan.

“Sebenarnya dia mengalami trauma tumpul pada bahagian dada, dan mekanisma yang mungkin membawa kepada kecederaan, mungkin akibat kemalangan, jatuh dari tempat tinggi, libasan dan rempuhan,” kata doktor itu.

Beliau berkata demikian semasa ditanya oleh Timbalan Pendakwaraya (TPR) Zhafran Rahim Hamzah, yang juga pegawai yang menjalankan inkues berhubung kematian Muhammad Adib.

Zhafran: Boleh anda bezakan sama ada dia diserang atau dilanggar?

Dr. Anand: Mustahil untuk menyatakannya dengan tepat.

“Saya dapati agak luarbiasa.. biasanya terdapat luka akibat mempertahankan diri, tapi ia tidak kelihatan di sini. katanya.

Dr. Anand juga berkata, SJMC memutuskan untuk memindahkan Muhammad Adib ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana mereka tidak mempunyai mesin yang boleh merawat kecederaan paru-paru.

“Kami berkongsi penemuan-penemuan kami dan memberikan maklumat kepada doktor di IJN berhubung laporan imbasan,” katanya.

Semasa ditanya TPR, Fatin Haidini Khairuddin sama beliau melihat sebarang kesan lebam di bahagian dada anggota bomba itu, beliau berkata: “Tidak”.

“Sepanjang pengetahuan saya, tidak fokus utama saya adalah kepada kecederaan dada,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.

Inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung Isnin. – Bernama



Sumber: cempedakcheese.com