8,000 peminat ‘histeria’ tonton aksi Blackpink

SHAH ALAM: Jeritan kira-kira 8,000 penonton bergema dalam Stadium Tertutup Malawati, di sini, sebaik sahaja kumpulan terkemuka Korea, Blackpink, muncul di pentas bagi memulakan Konsert Blackpink In Your Area Kuala Lumpur, petang tadi.

Bagai diserang histeria, peminat tegar yang menggelarkan diri mereka Blink itu terus teruja apabila empat tunjang utamanya muncul memanaskan pentas bersama lagu berhantu kumpulan terbabit, Ddu-Du Ddu-Du.

Membariskan hampir 20 dendangan termasuk lagu popular penyanyi lain, persembahan Jisoo, Jennie, Lisa dan Rose nyata membuatkan adrenalin penonton terus memuncak sepanjang dua jam mereka beraksi.

Bukan sekadar pilihan lagu dan tarian, setiap elemen meliputi penataan pentas, sistem pencahayaan, mainan grafik hingga kesan khas membabitkan bunga api dan asap menggandakan keterujaan khalayak.

Malah, kemunculan Blackpink yang juga sinonim sebagai ikon fesyen nyata memenuhi jangkaan apabila tampil bertenaga, menghiburkan dan bijak memanipulasi pentas bersama aksi comel mereka.

Pandai mengambil hati peminat Malaysia, mereka tidak ketinggalan melayangkan ucapan manis dalam bahasa Melayu yang tentunya disambut sorakan gemuruh.

Ayat seperti ‘saya rindu kamu’, ‘kamu sangat bagus’ dan ‘saya cinta kamu’ yang diluahkan secara bersahaja membuktikan kumpulan itu turut membuat persediaan rapi sebelum singgah ke mana-mana negara dalam siri jelajah ini.

Bagai diucapkan Rose, dia berbesar hati menerima sambutan luar biasa sebaik sahaja tiba di Malaysia, selain terharu melihat kehadiran Blink yang turut membawa sepanduk dan lampu tertera nama kumpulan itu.

Sementara itu, wajah puas jelas tergambar usai konsert apabila rata-rata peminat yang hadir mengakui berbaloi mengeluarkan wang antara RM370 hingga RM700 bagi menjadi sebahagian daripada sejarah kemunculan pertama kumpulan berkenaan di negara ini.

Antara seleksi lain yang diperdengarkan pada konsert yang bermula jam 6.30 petang itu ialah Forever Young, Stay, Whistle, Boombayah, Playing With Fire dan See U Later.

Terdahulu, jualan tiket konsert anjuran Macpiepro itu meraih sambutan luar biasa apabila ia habis disambar peminat tidak sampai dua hari kaunter dibuka, sekali gus mendorong pihak terbabit ‘mengikat’ Blackpink untuk konsert kedua di lokasi sama, petang esok.



Sumber: cempedakcheese.com