2 maut kebakaran pusat hiburan di Ipoh

IPOH – Dua lelaki maut dipercayai akibat sesak nafas manakala seorang lagi lelaki kritikal selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah di sini pagi tadi.

Dua lelaki yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu ialah Tai Chee Kin, 36 dan Lau Wai Hoong, 37, manakala mangsa yang kritikal ialah Ng Kok Eng, 39.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melibatkan kebakaran di tingkat empat premis tersebut pada pukul 5.49 pagi.

Katanya, seramai 31 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya dan Ipoh dengan dibantu lapan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru dihantar ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat.

“Maklumat awal mendapati terdapat 10 mangsa berada di dalam premis berkenaan dan daripada jumlah itu dua lelaki disahkan maut oleh pegawai perubatan kerana sesak nafas manakala seorang lagi kritikal.

“Empat mangsa yang selamat berjaya dikeluarkan dengan menggunakan jentera Aeriel Ladder Platform ( ALP) dan mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, operasi pencarian masih dilakukan bagi mengesan tiga mangsa lain yang dilaporkan turut berada dalam premis tersebut. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com