Terengganu FC Lambat Panas - Irfan Bakti


KUALA TERENGGANU: Irfan Bakti Abu Salim mengakui belum mampu menarik nafas lega melihat prestasi pemain Terengganu FC (TFC) sepanjang kempen pra musim ini, biarpun semua pemain sudah menyertai latihan penuh pasukan.

Jurulatih berpengalaman itu menyifatkan pemainnya masih belum 'panas' dan memerlukan masa untuk tampil lebih bertenaga dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Selain itu bekas pemain kebangsaan yang pernah membimbing kelab Persipura Jayapura (Liga Indonesia) itu mahukan anak buahnya cepat menguasai corak permainan serta serasi.

"Selepas dua aksi persahabatan pra musim ini, pemain belum menampakkan lagi corak permainan sebenar dan bergerak sebagai satu pasukan. Mereka memerlukan lebih banyak perlawanan lagi.

"Saya percaya selepas beberapa aksi persahabatan lagi, corak permainan akan lebih mantap selepas mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang harus diperbaiki sebelum perlawanan liga, bulan depan," kata Irfan Bakti.

Semalam, skuad TFC mengharungi perlawanan persahabatan menentang Terengganu FC II (TFC II), di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Skuad Penyu yang menurunkan kesebelasan utamanya termasuk lima awang import tewas 1-2 kepada skuad 'adik', bimbingan Tengku Hazman Raja Hassan.

Lee Tuck menghasilkan jaringan tunggal TFC, manakala penyerang TFC II, Akanni Sunday Wasiu serta pemain pertahanan, Serhii Andrieiev masing-masing meledak satu gol.

Pada aksi pra musim pertama, skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu seri 1-1 bertemu Kelantan.

Skuad naib juara Piala Malaysia musim lalu ini akan mengadakan kempen pra musim di Vietnam, bermula 14 Januari ini. - Berita Harian