Mad Mahu Kembali Beraksi Dengan Skuad Kebangsaan


KUALA TERENGGANU: Pengalaman berguru selama tiga bulan di Liga Perdana Queensland, Australia bersama skuad Harimau Muda A bakal dimanfaatkan sepenuhnya pemain baharu Terengganu FC (TFC), Muhammad Mohd Faudzi bagi memburu tempat dalam kesebelasan utama skuad Penyu itu.

Pertahanan Terengganu FC II (TFC II) yang dinaikkan 'pangkat’ musim ini tanpa berselindung mengakui, kepercayaan diberikan Ketua Jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim membuatkan dia makin teruja untuk memperagakan aksinya buat kali pertama dalam saingan Liga Super.

“Saya bagaikan bermimpi apabila dimaklumkan nama saya berada dalam senarai skuad TFC musim ini. Ini kerana, saya baru saja tersenarai dalam kesebelasan utama TFC II, sejak saingan Piala Cabaran musim lalu.

“Tetapi, dengan peluang terbaik ini apatah lagi dapat berguru dengan Irfan Bakti, tidak mungkin saya akan lepaskan. Saya akan berusaha lebih gigih lagi untuk berada dalam kesebelasan utama.

“Ini peluang terbaik untuk terus meningkat. Jika boleh, saya mahu kembali beraksi untuk skuad kebangsaan. Beberapa rakan seperjuangan seperti Mohd Syazwan Andik kini menyarung jersi Harimau Malaya,” kata Muhammad, 23 yang lebih mesra dipanggil Mad.

Pada musim 2014, pemain berketinggian 1.80 meter yang ketika itu berusia 18 tahun disenaraikan menyarung jersi skuad Harimau Muda A, di bawah kendalian jurulatih ketika itu, Datuk Ong Kim Swee sekali gus berpeluang menimba ilmu di Australia.

Mengulas lanjut, Muhammad bagaimanapun mengakui bukan tugas mudah buatnya untuk berada dalam kesebelasan utama skuad Penyu serta kembali menyarung jersi skuad kebangsaan.     

“Saya perlu bersaing dengan pemain lebih senior dan berpengalaman, itu perkara lumrah. Namun secara peribadi saya tidak mahu menjadi pemain 'penumpang’ dalam pasukan,” kata bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang Kuala Terengganu itu. - Berita Harian