KUALA TERENGGANU: 'Pertapaan' skuad Terengganu FC (TFC) di Vietnam sepanjang kempen pramusim yang berakhir semalam bukan saja melegakan pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim, malah arkitek skuad itu, Lee Tuck turut merasai situasi sama.
Tuck, 31, yang digelar 'Rooney Ganu' mengakui peningkatan yang dipamerkan rakan sepasukannya sepanjang berada di sana adalah sesuatu yang positif menjelang aksi Liga Malaysia (Liga-M) bermula 1 Februari ini.
TFC akan membuka tirai saingan musim 2019 berdepan PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
"Aksi di Vietnam sangat mencabar kerana aura dan semangat pemain Vietnam sangat berbeza terutama selepas skuad kebangsaan mereka dinobatkan juara Piala AFF 2018, dengan menewaskan Malaysia.
"Tetapi saya lihat kami semakin bagus pada setiap perlawanan walaupun hanya menang sekali daripada tiga aksi. Pemain menunjukkan komitmen tinggi dan prestasi mereka makin meningkat.
"Masih ada ruang untuk penambahbaikan dan beraksi lebih baik untuk menjadi pencabar terkuat musim baharu ini," kata Tuck kepada Sukan NSTP.
Musim lalu, pemain berdarah kacukan Malaysia-England ini (neneknya berasal dari Malaysia) membantu skuad bimbingan Irfan Bakti itu muncul naib juara Piala Malaysia selepas tumpas kepada Perak menerusi penentuan penalti.
Musim ini, pemain kesayangan peminat skuad Peteh Terengganu Peteh itu mendapat gandingan baharu di posisi tengah dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov selepas pasangannya musim lalu, Mohd Faiz Nasir berhijrah ke Selangor.
Pemain yang bakal menjadi pemain tempatan itu menyatakan dia tidak kisah bergandingan dengan mana-mana pemain, asalkan mereka mampu mengikut taktikal jurulatih serta beraksi dengan baik pada setiap perlawanan. - Berita Harian