Tonggak import baru Terengganu FC (TFC), Sanjar Shaakhmedov, teruja dengan cabaran yang menantinya menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M), bulan depan.
Dalam temu bual pertamanya bersama TFC TV, Shaakhmedov, 28, berkata dia akan segera menyesuaikan diri dengan kelainan di negara ini.
Menurutnya, pengaruh bekas rakan sepasukan di Lokomotiv Tashkent, Farhod Tadjiev, Sadriddin Abdulaev dan Lutfulla Turaev telah membawanya berhijrah ke Kuala Terengganu.
"Mereka merasai pengalaman yang baik dan perkembangan bola sepak di negara ini meningkat setiap tahun.
"Selaku pemain import, saya akan memberikan yang terbaik dan membawa TFC ke tahap lebih tinggi," katanya.
Menjadikan Xavi dan Andres Iniesta sebagai idola, pemain tengah itu mengakui sambutan meriah ketika ketibaannya menunjukkan dia menyertai pasukan yang tepat.
Untuk rekod, Shaakhmedov beraksi bersama FK Olmaliq dan Tashkent sehingga 2016, berhijrah ke Qatar bersama Al Sailiya sebelum kembali ke Tashkent pada Ogos 2017.
Menjaringkan dua gol dalam 21 penampilan Liga Juara-Juara Asia (ACL), dia turut dipanggil ke kem kebangsaan Uzbekistan ketika kelayakan Piala Dunia 2018. - Arena