Corak Permainan Sanjar Shaakhmedov Sesuai Dengan Terengganu FC - Irfan Bakti


Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, yakin pemain import baru, Sanjar Shaakhmedov, tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri dalam skuad bimbingannya.

Mengakui sebelum ini kurang bernasib baik dalam buruan import kuota Asia, Irfan berkata kehadiran bekas tonggak Lokomotiv Tashkent itu tepat pada masanya.

Kelincahan serta kerajinan pemain tengah itu menjadi aset utama mendorong Irfan dan pembantunya, Nafuzi Zain, berkelana ke Tashkent untuk merisik Shaakhmedov.

"Kami dah tengok, permainannya cukup serasi dengan TFC dan tidak ada perubahan taktikal untuk dia berada dalam kesebelasan utama," kata jurulatih berpengalaman itu.

Mengikat kontrak dua musim, Shaakhmedov akan memperkemaskan bahagian tengah TFC serta membantu kapten, Kipre Tchetche, di jentera serangan.

Menurut Irfan, aksi persahabatan dengan Kelantan, baru-baru ini, terlalu awal untuk disertai pemain berusia 28 tahun itu, sebaliknya hanya akan mula menjalani latihan Isnin ini.

Shaakhmedov kemudian akan turut serta bersama skuad terbaik TFC dalam siri pra-musim di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, pada 13 Januari.

"Masih ada sebulan lagi, kami akan beri masa untuk Shaakhmedov menyesuaikan diri," tambah Irfan. - Arena