Umur Tu Nombor Jer Boh - Lee Tuck


KUALA TERENGGANU: Biarpun bakal dilabel 'kuda tua' kerana usianya menginjak 31 tahun musim depan, Lee Tuck yang kini berada dalam senarai pemain didaftarkan sebagai pemain tempatan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui tidak takut dengan gelaran itu.

Malah pemain import Terengganu FC (TFC) yang digelar 'Rooney Ganu' itu mengakui dia mampu menjadi 'jeneral' skuad kebangsaan sekiranya diberi peluang kerana dia sedar kudratnya masih bertenaga.

"Ya saya dah berumur 30 tahun dan boleh dikatakan berada di hujung karier oleh sesetengah pemain bola sepak profesional. Tapi ingin saya maklumkan umur hanyalah sekadar nombor, saya masih mampu menyumbang tenaga kepada Harimau Malaya seandainya diberi peluang.

"Malah saya akan rasa teruja dan gembira kerana baharu sahaja merasai musim terbaik terutama bersama TFC. Lamaran FAM ini sudah pasti tidak akan saya tolak kerana percaya saya boleh bantu," kata Tuck kepada Sukan NSTP.

Nama arkitek skuad Penyu kelahiran England itu mula menjadi sebutan selepas Sukan NSTP melaporkan dia berada dalam radar pemain asing yang bakal menyarung jersi skuad kebangsaan bersama dua lagi pemain iaitu bekas pemain Kedah, Liridon Krasniqi dan penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula.

Bagaimanapun, peluang Tuck lebih cerah untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan sekali gus membarisi skuad kebangsaan kerana dia memiliki pertalian darah kerana neneknya berasal dari Malaysia.

Ketika ditanya bagaimana dia terdetik untuk menyarung jersi Harimau Malaya, Tuck yang mula beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) pada 2017 bersama Negeri Sembilan sebelum menyertai TFC musim ini menyatakan faktor peminat dan pemain naturalisasi, Mahamadou Sumareh membuatkan dia memasang impian bersama skuad negara.

"Para penyokong sering tanya adakah saya berminat menyertai skuad kebangsaan dan bila saya akan berbuat demikian. Saya dah katakan yang saya sangat berminat untuk menyertainya selain melihat kelibat Sumareh dalam skuad Piala AFF baru-baru ini," kata Tuck. - Berita Harian