KUALA TERENGGANU: “Malaysia berada di landasan tepat untuk meraih kejuaraan Piala AFF kali ini,” kata pemain import skuad Terengganu FC (TFC), Thierry Chantha Bin.
Chantha Bin yang juga arkitek skuad Piala AFF Kemboja 2018 berkata, keyakinan itu berdasarkan semangat berpasukan yang tinggi serta tidak mudah berputus asa pemain negara.
“Selain itu saya lihat mentaliti pemain Malaysia cukup tinggi dan mereka juga mempunyai disiplin permainan yang baik,” kata Chantha Bin yang pernah beraksi bersama skuad remaja Perancis.
“Saya yakin jika pemain Malaysia bekerja lebih keras lagi dan fokus sepanjang permainan sepertiketika menundukkan Thailand pada separuh akhir, kejuaraan Piala AFF menjadi milik mereka.”
Pasukan negara bimbingan Tan Cheng Hoe yang kini berada di ranking ke-167 dunia akan bertembung dengan pasukan di tangga ke-100 dunia, Vietnam pada aksi final pertama Selasa ini sebelum bertandang ke laman lawan pada 15 Disember ini untuk aksi final kedua.
Kali pertama dan terakhir skuad negara muncul juara Piala AFF pada 2010 selepas berjaya menewaskan Indonesia menerusi agregat 4-2 ketika di bawah kendalian jurulatih Datuk K Rajagobal.
Chantha Bin bagaimanapun mengakui bukan tugas mudah buat skuad negara untuk menundukkan Vietnam lebih-lebih lagi selepas tumpas 0-2 pada peringkat kumpulan.
“Saya jangkakan satu pertembungan hebat dan menarik, tapi Malaysia pastinya mahu menebus kekalahan pada peringkat kumpulan tempoh hari,” katanya. - Berita Harian