Tengku Hazman bersama tiga pemain import Akanni Sunday, Bruno Suzuki dan Marcel Dechi yang bakal memperkuatkan Terengganu FC II musim hadapan di Liga Perdana |
KUALA TERENGGANU: Selepas dinaikkan semula 'pangkat', skuad Terengganu FC II (TFC II) bertindak pantas apabila bakal mengikat bekas tonggak importnya, Akanni Sunday Wasiu dan Bruno Suzuki dalam mengharungi kancah Liga Perdana musim depan.
Ketua jurulatih TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan berkata, kedua-dua bekas penyerang skuad The Turtles itu kini sudah menjalani sesi pemilihan bersama pasukan berkenaan sejak beberapa hari lalu.
"Jika semuanya berjalan dengan lancar, kita akan mengikat dua penyerang import itu bagi memperkuatkan lagi jentera serangan pasukan menjelang sepak mula liga pada awal Februari depan.
"Kita berkeyakinan pengalaman Wasiu dan Suzuki yang sudah beraksi bersama skuad TFC II musim ini adalah calon terbaik mengisi kuota dua daripada empat pemain import yang dibenarkan," kata Tengku Hazman kepada Sukan NSTP.
Musim ini Wasiu, 34, berjaya meledak 10 gol selain menyumbat dua lagi ketika dipinjamkan kepada skuad Terengganu FC (TFC).
Selain itu, penyerang kelahiran Nigeria itu adalah watak penting skuad TFC II ketika menjulang Piala Cabaran musim ini selepas menjaringkan dua gol ketika menundukkan UKM dengan agregat 4-2.
Bagaimanapun, Tengku Hazman tidak mahu membuat keputusan terburu-buru untuk mengikat dua pemain itu, sebaliknya akan menilai lebih terperinci terlebih dahulu termasuk daripada segi kecergasan dan kecederaan.
"Kita masih menilai keupayaan mereka sebelum menandatangani kontrak, walaupun pernah bersama dengan pasukan kita tapi penelitian harus dibuat bagi mengelak memilih pemain yang tidak berkualiti dan cedera," kata Tengku Hazman. - Berita Harian
*** Maklumat terkini Terengganu FC II sah mengikat kedua-dua pemain tersebut dan menandatangani seorang lagi pemain import Marcel Dechi bekas pemain import UiTM FC.