Malik Ariff Pasang Azam Baru


Penyerang Terengganu FC (TFC), Abdul Malik Mat Ariff, mengakui tidak berada dalam prestasi terbaik sepanjang musim pertamanya bersama naib juara Piala Malaysia itu.

Kecederaan buku lali dan tulang rusuk jelas menjejaskan sentuhannya yang menyebabkan bekas pemain Kuantan FA itu bergelut dengan prestasi dan hanya menjaringkan tiga gol.

Enggan menoleh kebelakang, Malik, 27, kini berazam menampilkan aksi lebih baik selain membantu TFC memecah dominasi Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super.

"Prestasi saya kurang memberangsangkan (musim pertama). Saya menolak dua tawaran pasukan lain kerana mahu membuktikan sesuatu kepada pasukan.

"Dengan barisan pemain yang lebih mantap untuk musim akan datang, tidak mustahil kami mampu memberi saingan kepada juara bertahan, JDT," jelasnya.

Malik, yang juga penjaring terbanyak tempatan pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK 2017), turut menganggap tiada masalah buat TFC segera mendapatkan rentak.

Hanya kerja keras serta komitmen menurutnya diperlukan termasuk daripada 10 pemain baru untuk memastikan Sang Penyu berada dalam kelompok pasukan atasan dalam liga.

"Persiapan awal juga membantu memberikan kesan positif.

"Saya akan berusaha meningkatkan aspek kecergasan serta memperkemaskan penyudah," tambah Malik. - Arena