KUALA TERENGGANU: Walaupun bakal menempuh laluan berliku, pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim tetap optimis pasukan negara mampu bangkit memburu trofi Piala AFF bertemu Vietnam pada aksi final kedua di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu ini.
Keyakinan jurulatih berpengalaman itu bersandarkan kejayaan pemain Harimau Malaya 'melemaskan’ jaguh Asia Tenggara, Thailand, di gelanggang mereka pada aksi separuh akhir kedua 5 Disember lalu.
“Skuad negara bakal berdepan laluan sukar, lebih-lebih lagi selepas sekadar seri 2-2 di tempat sendiri pada aksi final pertama.
“Tapi itu atas kertas, baki 90 minit nanti bakal memberi peluang buat pemain kita berjuang habis-habisan.
“Selain itu rata-rata pemain negara juga tidak mempamerkan aksi sebenar ketika aksi final pertama dan jika mereka memberikan aksi bertenaga Sabtu ini, saya yakin kita mampu bangkit,” katanya kepada Sukan NSTP.
Bagaimanapun jurulatih berpengalaman itu mempunyai beberapa pesanan buat Tan Cheng Hoe supaya jurulatih itu dapat memperkemaskan semua posisi.
“Saya berpendapat posisi penyerang perlu ditambah baik dengan memasukkan Ahmad Hazwan Bakri bagi menggantikan Zaquan Adha Abd Radzak. Bagi posisi tengah, Akram Mahinan dan Syamer Kutty Abba perlu lebih kreatif kerana kurang menyerlah ketika final pertama.
“Selain itu pemain juga cepat hilang bola dan faktor kecergasan perlu dititikberatkan kerana pada aksi final pertama, pemain negara sudah menunjukkan keletihan di penghujung perlawanan dan keadaan sudah pasti sukar jika berlanjutan hingga masa tambahan,” katanya. - Harian Metro