Acong Teruja Berguru Dengan Irfan Bakti


KUALA TERENGGANU: Keinginan untuk 'berguru' dengan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim membuatkan bekas pemain tengah FELDA United, Muhammad Khairu Azrin Khazali memilih Terengganu FC (TFC) sebagai destinasi musim depan.

Pemain yang lebih mesra dipanggil Acong itu turut mengakui keinginan menimba pengalaman baharu dengan skuad Penyu menyebabkan dia menolak tawaran beberapa pasukan lain.

"Saya pernah beraksi bersama PKNS, Melaka United selain FELDA, tapi saya belum pernah beraksi di bawah bimbingan jurulatih Irfan Bakti.

"Jadi peluang bersama TFC ini akan saya manfaatkan sepenuhnya untuk mengutip seberapa banyak ilmu di bawah kendalian Irfan Bakti," kata Azrin.

Musim ini pemain kelahiran Hulu Langat, Selangor itu berjaya mempamerkan aksi cemerlang bersama skuadnya sebelum bergelar juara Liga Perdana.

Mengulas lanjut, dia tanpa berselindung mengakui teringin untuk menyarung jersi skuad kebangsaaan lebih-lebih lagi usianya menginjak 28 tahun.

"Besar impian saya untuk menyarung jersi pasukan kebangsaaan kerana itu cita-cita saya sejak kecil. Justeru saya akan berusaha lebih gigih bersama skuad TFC bagi memikat jurulatih kebangsaan," kata Azrin.

Kehadiran pemain berketinggian 1.68m itu tepat pada masanya bagi mengisi kekosongan posisi tengah bergandingan dengan pemain import, Lee Tuck selepas pemain meningkat naik, Faiz Nasir meninggalkan pasukan itu. - Harian metro