KUALA TERENGGANU: Penjaga gol utama Terengganu FC (TFC), Mohd Suffian Abd Rahman menamatkan keresahan peminat apabila mengesahkan akan terus menyarung jersi skuad Penyu itu musim depan.
Pengumuman rasmi pemain kelahiran Negeri Sembilan itu sebentar tadi kepada Sukan NSTP tidak mengejutkan kem TFC, sebaliknya ia sudah dijangka biarpun usia pemain itu memasuki angka 41 tahun musim 2019.
Sebelum ini, pemain paling senior Liga Malaysia (Liga M) musim ini berada dalam dilema, sama ada akan terus mewarnai Liga M sebagai pemain, jurulatih atau bersara kerana faktor usia.
"Kelmarin, secara rasmi saya mengesahkan terus menyertai skuad TFC musim depan selepas menyambung kontrak selama semusim lagi sehingga 2019.
"Keputusan ini dibuat selepas memikirkan tawaran PBSNT (Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu) dan jurulatih yang memberikan latihan sistematik kepada kami.
"Keadaan pasukan yang harmoni antara pemain dan jurulatih juga membuatkan saya memilih untuk kekal dalam misi memperbaiki rekod serta beraksi lebih baik dalam saingan liga," kata Suffian yang lebih mesra dipanggil 'Tiger'.
Musim ini, bekas pemain kebangsaan itu yang menjadikan bekas penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon sebagai idolanya beraksi cemerlang sehingga berjaya membantu pasukannya muncul naib juara Piala Malaysia.
Kehadiran Suffian akan meningkatkan saingan merebut posisi, selepas penjaga gawang utama Negeri Sembilan, Mohd Ilham Amirullah Razali dan penjaga gol kedua TFC, Wan Azraie Wan Teh juga sah bersama pasukan.
Sebelum ini, bekas penjaga gol PKNS kelahiran Terengganu, Mohd Shahril Saari turut mengintai peluang untuk bersama skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim, namun setakat ini status pemain itu belum pasti. - Berita Harian