KUALA TERENGGANU: Bukan lagi dalam radar pasukan Terengganu FC (TFC), sebaliknya bekas penjaga gol utama Negeri Sembilan, Muhamad Ilham Amirullah Razali kini sah milik TFC bagi mengharungi saingan musim depan.
Pengesahan itu diumumkan sendiri pemain kelahiran kampung Tersusun Rantau Panjang, Dungun itu kepada Sukan NSTP sebentar tadi, selepas menandatangani kontrak bersama Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), semalam.
"Biarpun ada tawaran daripada beberapa pasukan lain termasuk Kedah, tetapi saya lebih gembira menyarung jersi TFC musim depan atas beberapa faktor termasuk ini adalah pasukan negeri kelahiran saya.
"Prestasi skuad bimbingan (jurulatih) Irfan Bakti Abu Salim itu semakin menyerlah sejak dua musim lalu. Mereka berjaya muncul sebagai naib juara Liga Perdana musim lalu dan naib juara Piala Malaysia musim ini.
"Jika diberi kepercayaan, saya akan berusaha lebih gigih mengintai peluang untuk bermain dalam kesebelasan utama.
“Saya akur, ia bukan tugas mudah untuk membarisi skuad itu," kata Ilham yang juga bekas penjaga gol skuad Harimau Muda, T-Team dan FELDA United.
Kehadiran pemain muda berusia 24 tahun itu bakal merancakkan lagi persaingan musim depan merebut posisi penjaga nombor satu skuad Penyu itu.
Ilham akan bersaing dengan Wan Azraie Wan Teh serta penjaga gol utama musim ini, Mohd Suffian Abdul Rahman yang juga sudah ditawarkan kontrak untuk kekal bersama pasukan.
Mengulas lanjut, Ilham berharap penghijrahannya bersama skuad TFC bakal membuka lembaran baharu buat kariernya muncul antara penjaga gol terbaik di Malaysia.
"Saya juga ingin mengintai peluang untuk mewakili pasukan kebangsaan dan berharap mampu meraih peluang itu," katanya yang memiliki ketinggian 1.77 meter. - Berita Harian