KUALA TERENGGANU: Sebelum ini nama arkitek Terengganu FC (TFC), Faiz Nasir tidak begitu dikenali tetapi selepas aksi final Piala Malaysia bertemu Perak Sabtu lalu, pemain persis Lionel Messi itu mula mendapat perhatian selepas persembahan cemerlangnya.
Malah pemain yang hanya mempunyai ketinggian 1.56 meter itu juga berjaya mencetak nama selaku penjaring gol buat skuad Penyu apabila rembatan kaki kirinya pada masa tambahan berjaya menerjah jaring Perak.
Kini pemain bertubuh kecil itu bukan hanya menjadi ‘kegilaan’ peminat tapi juga pasukan lain yang berhajat untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.
Bagaimanapun pemain berusia 26 tahun yang digelar ‘Messi Ganu’ itu sering kali menjadi mangsa rempuhan pemain lawan yang kurang senang melihat kelincahannya di tengah padang ketika menguasai bola.
“Saya sedar situasi itu, setiap kali saya mendapat bola sudah pasti ada asakan keras pemain lawan yang cuba menyekat saya daripada bergerak bebas.
“Saya juga sering kali menjadi mangsa tolakan dan rempuhan pemain lawan dan situasi itu nyata menjejaskan rentak permainan saya ketika mahu melakukan hantaran kepada rakan sepasukan.
“Tapi itu cerita musim ini, untuk saingan musim depan saya akan berusaha lebih keras untuk menguatkan fizikal bagi memastikan tidak lagi menjadi mangsa rempuhan keras pemain lawan,” kata Faiz yang mahu mengikut jejak Messi sekalipun bertubuh kecil tetapi mempunyai kekuatan fizikal.
Pada aksi final di Stadium Shah Alam, pemain yang memakai jersi nombor 15 itu mendapat tepukan gemuruh peminat skuad Penyu setiap kali dia mendapat bola kerana kelicikannya memperdaya pemain lawan.
Mengenai desas-desus mengaitkan namanya dipanggil menyertai skuad kebangsaan, pemain yang pernah menuntut di Institut Kemahiran Mara (IKM), Pekan itu mengakui sudah bersedia jika mendapat tawaran.
“Setiap pemain pasti mengidam untuk mewakili skuad kebangsaan begitu juga saya, sekiranya nama saya tersenarai selepas ini ia satu bonus,” kata pemain yang menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihannya Februari lalu.
Mengulas destinasinya musim depan, bekas pelajar Sekolah Menengah Tiang Chandi, Pasir Mas, Kelantan itu belum membuat keputusan muktamad lagi sama akan kekal bersama TFC atau sebaliknya.
“Setakat ini saya belum buat keputusan lagi sama ada akan terus bersama TFC atau sebaliknya,” katanya yang terkilan kerana gagal merangkul trofi Piala Malaysia selepas tumpas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti. TFC terikat 3-3 dengan Perak selepas masa tambahan.
Profil
• Nama penuh: Mohd Faiz Mohd Nasir
• Tarikh lahir: 21 Julai 1992 (26 tahun)
• Tempat lahir: Pasir Mas, Kelantan
• Tinggi: 1.56m
• Berat: 46kg
• Nombor jersi: 15
• Posisi: Pemain tengah menyerang/sayap
• Pasukan terdahulu: Kelantan (2014), PBAPP FC (2015), FELCRA FC (2016)
- Berita Harian