Empat Tonggak Utama Tinggalkan Terengganu FC


Penyokong skuad Penyu harus bersedia menerima hakikat bakal kehilangan pemain kesayangan mereka apabila ada dalam kalangan mereka bakal meninggalkan pasukan Terengganu FC musim depan.

Perkara itu disahkan sendiri, pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim yang mengakui ramai pemainnya sudah dipancing beberapa pasukan luar sejurus tamat aksi final Piala aMalaysia Sabtu lalu dalam memperkuatkan pasukan masing-masing untuk mengharungi kancah Liga Malaysia mmusim depan.

"Buat masa ini empat pemain tonggak utama kita termasuk awang import sah akan berhijrah bersama pasukan baharu mereka musim depan. Kita tak boleh halang pemain untuk terus kekal bersama kita kerana mereka mendapat tawaran yang lebih lumayan.

"Kami bukan pasukan yang berbelanja mewah, jadi kita tidak boleh tawar diluar kemampuan kita dan perlu berjimat cermat dalam mengurus perbelanjaan musim depan. Jadi saya harap peminat dan penyokong TFC jangan kecewa sekiranya pemain yang kita inginkan gagal untuk terus kekal bersama TFC," katanya ketika menghubungi Sukan Sinar sebelum berlepas ke luar negara semalam.

Mengulas lanjut, ketua jurulatih berpengalaman itu mengakui walaupun perasaan kecewa masih dirasai selepas gagal menjulang Piala Malaysia musim ini, namun dia perlu terus memandang ke depan dan akan berusaha mencari pengganti kekosongan yang ditinggalkan empat pemain terbabit.

"Pemain dan jurulatih datang dan pergi setiap musim, jadi saya tak kisah kerana saya pun bermula dari bawah sejak musim lalu.

"Kita kini sedang dalam rundingan untuk mendapatkan dua pemain tempatan, manakala untuk kuota import kita memerlu pemain yang mampu beraksi dibahagian serangan dan pemain dari Uzbekistan, Serbia dan Hungary menjadi sandaran kita dalam memperkemaskan paskan,"katanya - Sukan Sinar