Pihak A-Ikhsan Sports telah mengumumkan di dalam laman sosial media mereka penajaan bagi pasukan naib juara Piala Malaysia, Terengganu Football Club (Terengganu FC) sebentar tadi.
Ini menjadikan pasukan pantai timur tersebut akan menyarung jersi dengan jenama AL Sports pada musim Liga Malaysia 2019 kelak. Jumlah tajaan rangkaian sukan tersebut tidak diumumkan namun perkara ini pastinya menceriakan para penyokong Terengganu FC kerana boleh mendapatkan jersi tersebut di rangkaian kedai sukan terbabit seluruh negara.
Pada musim ini, antara pasukan yang menyarung jersi AL Sports adalah Kedah FA dan juga juara Piala Malaysia 2018, Perak TBG. Pengumuman ini juga menyaksikan jenama Kobert yang telah menaja dan menyediakan kelengkapan pakaian buat pasukan Terengganu sejak 2016 telah berakhir.
Penyokong tegar Terengganu FC pastinya tidak sabar untuk menunggu rekaan yang akan dibuat oleh pihak AL Sports dan menyerbu pusat jualan Al-Ikhsan di sekitar negeri Terengganu.
Kredit Foto: Al-Ikhsan Sports & Fopx