KUALA TERENGGANU: Selepas menumbangkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan kemenangan dramatik, skuad Terengganu FC (TFC) bertekad menjadikan Perak sebagai 'mangsa' terakhir sebelum menjulang trofi Piala Malaysia musim ini.
Keyakinan itu disuarakan arkitek skuad Penyu itu, Lee Tuck yang mengakui tidak sabar untuk beraksi pada pentas final pertamanya dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) Sabtu ini di Stadium Shah Alam.
"Tugas kami belum selesai lagi dan kami sudah bersedia untuk bertempur dengan Perak buat kali kelima musim ini. Perlawanan kali ini juga pastinya berbeza dan secara peribadi saya mahu tamatkan perjuangan dalam Liga M dengan noktah kejuaraan dan diingati sekali gus melakar sejarah peribadi dalam karier bola sepak.
"Lagipun bapa, adik dan abang saya dari England juga akan datang menyaksikan perlawanan akhir nanti," kata Tuck, pemain kelahiran England yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia kerana moyangnya berasal dari negara ini.
Berdasarkan analisis, kedua-dua pasukan mempunyai rekod seimbang apabila skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu menang 4-3 dalam aksi pertama Piala Malaysia peringkat kumpulan di Stadium Perak sebelum tumpas 1-2 dalam aksi kedua di Kuala Terengganu.
Dalam saingan liga pula skuad The Bos Gaurus itu menang 3-2 dalam aksi pusingan pertama di Stadium Perak manakala pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, skuad Penyu berjaya membalas dendam apabila menang 2-0.
Dalam pada itu, pemain yang digelar 'Rooney Ganu' itu yang bakal menimang cahaya mata pertamanya tahun depan mendedahkan faktor tidak tertekan serta tidak panik ketika ketinggalan 0-2 kepada JDT dalam aksi separuh akhir pertama adalah rahsia kejayaan pasukannya bangkit daripada ketinggalan.
"Kami tidak panik dan tidak tertekan selepas JDT jaring dua gol awal, kami faham pasukan itu sangat bagus dan mereka akan terus memberi tekanan dan mencipta banyak peluang, tapi dalam masa sama kami juga tahu kami perlu menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol.
"Hasil kerja keras kami dengan corak bertahan sebagai satu pasukan dan bertenang ketika di depan gol ternyata ia berkesan,” katanya. - Berita Harian