Berkelebihan 1-0 bukan bekalan selesa dalam pemburuan tiket ke final Piala Malaysia, apatah lagi berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Namun, ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, yakin skuad bimbingannya tahu apa yang perlu dilakukan dalam aksi separuh akhir kedua, malam esok.
Menamakan Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera dan Fernando Elizari sebagai antara yang perlu diberi perhatian, Irfan berkata TFC tidak rela sekadar menjadi 'pemerhati', sebaliknya bersedia mengerah segala kudrat.
"Hormat tetap hormat tapi biar saya saja hormat (JDT), pemain-pemain TFC tidak boleh mengambil mudah walaupun mendahului satu gol.
"Ia akan menjadi 90 minit yang panjang, namun kami akan main macam biasa, tidak akan bertahan sahaja, sebaliknya mencari gol di tempat lawan," ujar Irfan.
Pengendali berpengalaman itu turut menyedari tugas getir menanti Sang Penyu yang kali terakhir mara ke pentas final pada 2011, namun tewas kepada Negeri Sembilan.
Irfan memberi bayangan kesebelasan utama TFC sudah berada dalam perancangannya selain kembalinya tonggak pertahanan, Nasrullah Haniff Johan, daripada penggantungan.
"Pelbagai cabaran akan dihadapi TFC di Larkin di depan ribuan penyokong mereka.
"Sebenarnya JDT yang lebih tertekan dan diharap pengadil bertugas dapat mengawal perlawanan dengan baik," tambahnya. - Arena