Malik Is Back!


KUALA TERENGGANU: Pemain gantian Malik Mat Ariff mencipta kelebihan buat Terengganu FC (TFC) apabila gol tunggalnya pada babak kedua membantu mereka menewaskan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Biarpun ia kemenangan tipis tetapi kejayaan itu mampu menyuntik semangat anak buah Irfan Bakti Abu Salim menjelang separuh akhir kedua di Larkin pada 20 Oktober depan.

Malik memecah kebuntuan pada minit ke-78 apabila dia menampan masuk hantaran silang kapten Kipre Tchetche dari sebelah kiri sekali gus menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Empat minit terdahulu, pemain bertubuh kecil itu terlepas peluang terbaik untuk mencetak nama sebagai penjaring apabila lambat menyambar bola hantaran Tchetche.

Dengan sokongan lebih 10,000 peminat setia, skuad Penyu melakukan ancaman awal melalui sepakan percuma Lee Tuck pada minit keempat namun rembatan pemain kelahiran England itu sedikit tersasar.

Seminit selepas itu Tuck hampir membuka tirai jaringan apabila lorongan cantik Tchetche singgah di depannya, namun belum sempat pemain itu menyambar hantaran itu pertahanan lawan terlebih dulu dapat mengeluarkan bola.

Tersentak asakan itu pelawat memperkemaskan asakan dan berjaya masuk ke kubu lawan pada minit ketujuh menerusi percubaan cantik Natxo Insa, namun penjaga gol Suffian Rahman sudah bersedia menepis rembatan pemain itu.

Pemain tengah JDT, Gonzalo Cabrera hampir menceriakan kem pasukannya pada minit ke-37, namun rembatan kencangnya dari luar kotak penalti terkena tiang begitu juga percubaan Safawi Rasid pada minit ke-42 berjaya ditepis penjaga gol.

Pelawat yang lebih banyak menyerang pada babak kedua sekali lagi mencemaskan kubu tuan rumah menerusi rembatan mengelirukan Safawi pada minit ke-63 dan Cabrera empat minit kemudian namun Suffian bijak menghalang percubaan itu. - Berita Harian