KUALA TERENGGANU: Karakter pemain Terengganu FC bakal menjadi aset penting dan penentu pasukan untuk berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir, Piala Malaysia, Sabtu ini.
"Faktor kekeluargaan di dalam dan di luar padang juga menjadi antara elemen kekuatan skuad untuk berdepan JDT,” kata pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim mengenai persiapan menjelang pertembungan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Setakat ini, katanya semua persediaan dan latihan berjalan seperti biasa dengan fokus memburu kemenangan dalam aksi kompetitif itu, biarpun bakal bertembung dengan pasukan terbaik negara.
"Bagi saya, aksi separuh akhir ini tidak ada pasukan pilihan walaupun JDT pernah menewaskan kita dalam kedua-dua aksi Liga Super dengan keputusan 0-1 di Kuala Terengganu dan 0-2 di Larkin.
“Kami tidak bernasib baik terutama aksi di tempat sendiri. Kekalahan itu tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kerana saingan kali ini adalah berbeza dan pemain cukup bersemangat untuk melangkah ke final.
"Malah jika kita lihat rekod skuad JDT ada pasukan yang menewaskan mereka seperti Pahang, MIFA, Kelantan musim ini. Ketika membimbing FELDA United, saya pernah dua kali menang di tempat mereka, jadi sebarang kemungkinan boleh berlaku.
"Namun sebagai jurulatih saya perlu ada strategi lebih ampuh selain mengingatkan pemain harus awasi barisan pemain lawan kerana skuad itu memiliki ramai pemain terbaik negara," ujar Irfan Bakti.
Mengenai ketiadaan pertahanan tengah, Nasrullah Haniff Johan yang digantung satu perlawanan kerana menerima dua kad kuning, Irfan Bakti mengakui sudah menemui pengganti sesuai untuk memikul tugasan itu.
"Kita sudah ada dua calon yang sesuai sama ada Abdul Latiff Suhaimi atau Radhi Yusof. Saya yakin dengan kebolehan mereka yang bakal digandingkan dengan tonggak import, Igor Zonjic di barisan pertahanan," kata Irfan Bakti. - Berita Harian