JOHOR BAHRU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim menempelak pihak yang mengkritik keupayaan penjaga gol, Mohd Suffian Rahman yang dikatakan tidak sesuai untuk menjaga gawang pasukan kerana faktor usia.
Irfan Bakti menegaskan, Mohd Suffian adalah pemain paling tua beraksi di padang, namun kelincahannya menafikan beberapa percubaan berbahaya penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) menunjukkan jiwanya masih muda.
"Kehadiran Mohd Sufian mengemudi gawang gol TFC tidak disukai oleh beberapa orang. Tetapi saya kenal karakter dia sejak 25 tahun lalu dan status selaku penjaga gol, kalau sudah mencecah usia 40 tahun, itu perkara biasa.
"Kalau tidak bagus, saya tidak akan letak dia selaku penjaga gol utama dan dia membuktikan ketangkasannya menjaga gawang berjaya membawa kita ke pentas akhir. Saya tegaskan sekali lagi, dia adalah penjaga gol terbaik untuk TFC ketika ini," katanya.
Skuad Penyu mara ke pentas akhir Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukan pada 2011, apabila seri 2-2 dengan JDT di separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam semalam.
TFC mara dengan agregat 3-2 selepas menang 1-0 dalam aksi pertama di laman sendiri.
Irfan Bakti menegaskan, aksi malam semalam penuh dramatik - dengan corak permainan dikuasai JDT, dan TFC menggunakan kesempatan untuk mencipta gol berpunca daripada kelekaan pemain skuad Harimau Selatan.
Menurutnya, strategi untuk mematikan kelicikan tiga pemain iaitu Gonzalo Cabrera, Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid membuahkan hasil selepas setiap gerakan berbahaya yang dilakukan tiga serangkai itu berjaya dipatahkan.
Malah katanya, walaupun JDT menguasai permainan, namun kelebihan untuk mencipta jaringan menjadi milik TFC, tetapi gagal dimanfaatkan Shahrul Aizad Zulkifli pada awal babak pertama, ketika dia hanya berdepan penjaga gol JDT.
Selepas ketinggalan 0-1 hasil jaringan gol penalti, beliau memberikan kata-kata perangsang kepada pemain di bilik persalinan supaya kembali bangkit dan memberi tentangan kerana masih terikat dengan agregat 1-1.
"Pemain mengikut arahan dan tidak panik apabila menguasai posisi tengah yang saya akui kerap didominasi pemain JDT yang memiliki kombinasi permainan mantap menerusi bola hantaran pendek yang berbahaya.
"Saya agak terkejut apabila JDT tidak menurunkan pemain nombor 5 (Fernando Elizari). Taktik permainan JDT juga berubah apabila meletak gandingan Cabrera dan Fernando Marquez.
“Saya jangka mereka akan mempratikkan bola hantaran silang tetapi kami sudah bersedia menghalang.
"Saya tidak ubah taktikal berbanding aksi pertama, apa yang saya arahkan untuk pemain ialah sentiasa bersungguh-sungguh dan kuasai posisi tengah, kerana JDT begitu kuat di posisi itu dan pemain saya laksanakan tugas dengan baik," kata Irfan Bakti. - Berita Harian