Ashari Samsudin Mahu Tebus Duka 2011


KUALA TERENGGANU: Kekecewaan tumpas pada perlawanan akhir Piala Malaysia tujuh tahun lalu mahu diubati Ashari Samsudin apabila Terengganu FC (TFC) membuat perhitungan dengan Perak di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Bekas pemenang Kasut Emas 2010 dengan 18 gol itu juga berazam mahu menamatkan karier bola sepaknya dengan meraih sekurang-kurangnya satu trofi piala berprestij itu.

“Ini peluang terbaik buat saya dan rakan sepasukan untuk memahat sejarah sesudah gagal muncul juara pada 2011 selepas tumpas 1-2 kepada Negeri Sembilan.

“Saya masih ingat ketika final pada 29 Oktober 2011 di Stadium Shah Alam, saya meledak gol pendahuluan pada minit ke-59, namun impian kami berkecai apabila lawan bangkit pada 10 minit terakhir hasil jaringan S Kunanlan dan Hairuddin Omar.

“Saya berdoa sambil berharap episod duka itu tidak berulang lagi kerana perjalanan untuk mara hingga ke tahap ini begitu sukar dan berliku,” kata Ashari, pemain tunggal skuad 2011 yang masih beraksi dalam skuad Penyu musim ini.

Pada separuh akhir kedua menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) hujung minggu lalu, pemain yang digelar ‘The Silent Killer’ berusia 33 tahun itu berjaya melakukan hantaran tepat dan berkualiti kepada rakan sepasukannya, Kipre Tchetche sebelum pemain dari Ivory Coast itu meledak gol penyamaan untuk mengikat kedudukan 2-2 sekali gus memastikan kemaraan.

“Jika ditanya perasaan ketika ini saya begitu teruja dan tidak sabar untuk turun beraksi bagi menebus kehampaan tujuh tahun lalu.

“Bagaimanapun saya harap menjelang pertemuan itu nanti, saya bebas daripada sebarang kecederaan, begitu juga rakan sepasukan kerana sedar peluang untuk beraksi hanya tinggal mimpi jika cedera.”

Penyerang yang mempunyai ketinggian 1.80 meter itu juga pernah membantu pasukannya muncul juara Piala FA 2011.

“Pesanan saya kepada diri dan rakan sepasukan supaya tidak terlalu yakin sebaliknya perlu memperkemaskan diri kerana lawan mempunyai kekuatan tersendiri biarpun rekod kedua-dua pasukan musim ini seimbang,” kata Ashari. - Berita Harian