KUALA TERENGGANU: Pengendali sementara Terengganu FC II (TFCII), Tengku Hazman Raja Hassan tidak mahu menyimpan kuku sebaliknya tetap membariskan skuad terbaik melayan kunjungan Negeri Sembilan dalam aksi Piala Cabaran di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.
Katanya, sekalipun perlawanan itu tidak menggugat kedudukan pasukannya yang sudah layak ke separuh akhir, namun ia lebih kepada menjaga maruah bermain di laman sendiri.
"Saya tidak bercadang melakukan banyak perubahan dalam pasukan sebaliknya mempertaruhkan barisan terbaik dalam memastikan tiga mata diraih bermain di gelanggang sendiri.
"Walaupun sudah layak, kita tidak mahu pemain sesekali bermain sambil lewa dan memberi laluan mudah kepada Negeri Sembilan yang pastinya turun dengan misi hidup mati mereka untuk mengiringi kami ke separuh akhir," katanya.
Tengku Hazman berkata, dia juga tidak bercadang merehatkan awang importnya dalam perlawanan itu kerana mereka adalah nadi kekuatan pasukannya mengimbangi kekuatan lawan.
Pengendali kelahiran Kelantan berusia 41 tahun itu berkata, dia berharap pasukannya mampu memperbaiki kelemahan yang sering dilakukan terutama mempersiakan peluang di depan gol.
Bekas pemain kebangsaan itu mengakui perkara itu merisaukannya dan berharap pemain yang mempunyai peluang menjaringkan gol supaya lebih tenang.
"Saya harap gandingan mantap antara Bruno Suzuki dan Akanni Sunday Wasiu mampu menjadi senjata utama merobek kubu Negeri Sembilan malam esok selain misi mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam enam perlawanan," katanya.
Negeri Sembilan yang kini mengumpul sembilan mata wajib menang ke atas TFC II kerana UKM FC yang hanya ketinggalan dua mata masih berpeluang mara ke separuh akhir jika mereka mengatasi Sarawak dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A. - Berita Harian