Selamat Tinggal Piala Malaysia


KUALA TERENGGANU: Pertahanan tengah Terengganu FC (TFC), Wan Amirzafran Wan Nadris terpaksa mengucapkan selamat tinggal bagi baki saingan Piala Malaysia musim ini selepas berehat panjang susulan kecederaan lutut serius.

Malah pemain yang mula mencipta nama bersama skuad Harimau Muda itu juga akan terlepas peluang beraksi dalam saingan awal Liga Malaysia (Liga M) musim depan kerana perlu berehat hingga April 2019.

“Hasil pemeriksaan di Pusat Perubatan Sunway di Subang semalam, doktor mengesahkan kecederaan lutut kanan saya amat serius.

“Doktor menyatakan saya perlu menjalani rawatan dan berehat antara enam hingga tujuh bulan untuk pulih sepenuhnya sebelum dapat beraksi semula.

“Kecederaan ini sudah pasti mengecewakan kerana tidak dapat membantu pasukan terutama aksi penting bertemu FELDA United pada suku akhir kedua Jumaat ini,” kata Amirzafran.

Pada suku akhir pertama di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Jumaat lalu, bekas pemain T-Team berusia 24 tahun itu terpaksa diusung keluar pada minit ketujuh selepas bertembung dengan pemain FELDA United.

“Saya tidak menyalahkan pemain lawan ketika insiden itu berlaku, tapi permukaan padang tidak rata di stadium itu menyebabkan saya terjatuh sebelum mengalami kecederaan teruk yang tidak diduga ini.

“Biarpun pasti tidak dapat beraksi Jumaat ini, apa yang mampu saya doakan pasukan kami layak ke separuh akhir dan seterusnya ke final sambil mengharapkan rakan sepasukan berjuang habis-habisan apatah lagi memiliki kelebihan selepas menang 2-1 pada aksi pertama,” kata Amirzafran. - Berita Harian