Pesanan Buat Rakan Sepasukan - Kipre Tchetche


KUALA TERENGGANU: Enggan kecewa buat kali kedua berturut-turut, kapten Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche mengingatkan dirinya dan rakan sepasukan supaya kembali memperagakan aksi bertenaga bertemu Kuala Lumpur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok dalam misi mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan A saingan Piala Malaysia.

Selain itu pemain kelahiran Ivory Coast yang digelar 'Drogba Ganu' itu turut mengharapkan rakan sepasukannya belajar daripada kesilapan memalukan tewas 1-2 kepada Perak awal September lalu walaupun beraksi di tempat sendiri.

"Kemenangan malam esok penting buat kami untuk mendapatkan keyakinan sebelum beraksi di suku akhir nanti dan seterusnya mengintai peluang melangkah ke separuh akhir serta final kerana itu adalah sasaran kami.

"Kami tidak boleh ambil mudah pertemuan itu biarpun sedar skuad lawan sudah tersingkir ke peringkat suku akhir," kata Tchetche yang sebelum ini menyarung jersi kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman.

Dalam aksi pusingan pertama peringkat kumpulan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di Cheras sebelum ini, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu mudah meratah pasukan The City Boys itu 5-1.

Sementara itu Irfan Bakti menuntut anak buahnya beraksi dengan baik serta tidak mengulangi kesilapan sama ketika tumpas kepada Perak tempoh hari, sebaliknya perlu lebih berani menguasai bola lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri.

"Selain itu saya turut mengharapkan pemain lebih bijak menghidu peluang untuk menghasilkan jaringan serta mengikis sikap cepat selesa dan perlu berkerja keras hingga minit terakhir perlawanan," kata Irfan Bakti. - Berita Harian