KUALA TERENGGANU: Arkitek Terengganu FC (TFC), Lee Tuck akan mengerah segala pengalamannya untuk membantu pasukan mengutip bekalan bertemu FELDA United, dalam suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, malam esok.
Pemain kelahiran England yang digelar 'Rooney Ganu' itu juga mahu tampil dengan aksi lebih bertenaga, biarpun sedar dia bakal dirantai pemain skuad The Fighters.
"Semua pemain sudah pasti mahu mempamerkan aksi terbaik. Saya mahu menjadi watak penting dalam pasukan dan tidak sanggup tewas kerana ini peluang terbaik untuk mengintai peluang ke separuh akhir,” kata Tuck.
Berdasarkan rekod, Tuck yang memulakan karier bersama kelab Halifax Town dalam Liga England itu bukan hanya bijak merencana posisi tengah, malah pemain berusia 30 tahun itu yang mengikat kontrak bersama TFC sehingga 2019 juga berupaya meledak gol.
Bekas pemain Negeri Sembilan musim lalu itu meledak enam gol dalam saingan Liga Super, manakala dalam aksi peringkat Kumpulan A saingan Piala Malaysia, dia meledak lima gol termasuk hatrik ketika bertemu FELCRA FC.
"Jika berpeluang untuk menghasilkan jaringan saya akan cuba melakukannya walaupun sedar selain Kipre Tchetche (penyerang) yang bakal diikat lawan, saya juga antara seorang pemain yang akan diawasi daripada bergerak bebas di tengah.
"Saya percaya strategi jurulatih, Irfan Bakti (Abu Salim) mampu membawa berita gembira buat kami," kata Tuck yang mengakui tidak sabar untuk turun beraksi.
Sementara itu Irfan Bakti berkata, bagi memastikan anak buahnya mampu beraksi dengan baik di padang rumput tiruan, beliau mengambil langkah awal dengan mengadakan latihan di padang rumput tiruan di Gong Badak. - Berita Harian