Kami Belum Layak - Irfan Bakti


MARAN: Kecederaan beberapa pemain utama FELDA United dan Terengganu FC (TFC) dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam tadi dijangka akan merencatkan aksi kedua minggu depan.

Walaupun mempunyai kelebihan satu gol, Ketua Jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim menganggap ia bukanlah keputusan yang diharapkan skuad kendaliannya itu.

Tambahan pula, katanya mereka kehilangan seorang pemain, W Ahmad Amirzafran W Nadris yang cedera seawal minit ketujuh, selepas diasak pemain FELDA United.

"Kecederaan Amirzafran agak serius dan kami perlu melakukan ujian imbasan MRI terlebih dahulu pagi ini. Mungkin (kecederaan) pada bahagian ligamen, dan kita akan pantau perkembangannya.

"Bagi saya, tidak ada istilah 'sebelah kaki ke separuh akhir'. Kita ada 90 minit lagi dan FELDA United tidak akan memberi laluan mudah.

“Dua gol di gelanggang lawan bukanlah satu kelebihan, apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan dan saya (TFC) tidak akan bertahan apabila melayan kunjungan mereka minggu depan.

Bagi pengendali berpengalaman ini, masih banyak yang perlu diperbaiki selepas mendapati kerjasama antara pemain bahagian tengah dan jentera serangan pada perlawanan malam tadi masih kurang menyengat.

Dalam aksi malam tadi, FELDA United gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada TFC dengan gol pelawat dijaringkan Nasrullah Haniff Johan dan Lee Andrew Tuck (TFC).

Gilberto Valdenesio Fortunato merapatkan jurang jaringan untuk FELDA United dan mereka perlu menang besar dalam perlawanan kedua yang dijadualkan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Jumaat ini. - Berita Harian