Irfan Bakti Nafi 'Jual Perlawanan' Bertemu Perak


KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim menafikan dakwaan beliau 'merancang’ untuk tewas kepada Perak dalam aksi Ahad lalu, sebaliknya tetap mahu mengutip tiga mata bagi meneruskan rentak kemenangan peringkat Kumpulan A, Piala Malaysia.

Bagaimanapun Irfan Bakti akur pasukannya tidak bernasib baik apabila gagal mengutip sebarang mata disebabkan aksi tidak konsisten diperagakan pemainnya sebelum tumpas 1-2 dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

“Saya tidak mahu kalah, sebaliknya inginkan kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan tangga teratas kumpulan. Kami juga mahu menghiburkan ribuan penonton yang hadir di samping menyuntik semangat pemain, tetapi kita tewas nak buat macam mana.

“Jika lihat senarai pemain, kita sudah membariskan pemain utama, tetapi saya akui Perak lebih baik dan mereka beraksi sebagaimana kita bermain ketika menumpaskan mereka 4-3 di Stadium Perak dalam aksi pusingan pertama kumpulan,” kata Irfan Bakti.

Dalam pertemuan itu, aksi pemain skuad Penyu bagaikan 'dirantai’ pergerakan mereka apabila gagal bergerak bebas, serta tidak banyak mencipta peluang untuk mencetak jaringan walaupun beraksi di tempat sendiri dengan sokongan padu lebih 3,000 peminat setia.

Kekalahan memalukan itu sekali gus menyaksikan rekod tanpa kalah skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu lebur walaupun masih menghuni carta teratas kumpulan dengan berkongsi 10 mata dengan Perak.

Mengulas mengenai pertembungan suku akhir nanti, Irfan Bakti berkata, pemainnya tidak gentar sebaliknya sudah bersedia untuk bertemu mana-mana pasukan dalam Kumpulan B sama ada FELDA United atau PKNS FC.

“Kita sudah tahu lawan di suku akhir nanti, FELDA atau PKNS. Saya sudah berbincang dengan pemain mengenai perkara itu. Pemain sebenarnya sudah bersedia,” kata Irfan Bakti. - Berita Harian