Irfan Bakti Mahu Anak Buah...


Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, menganggap pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Felda United malam ini sebagai medan terbaik buat anak-anak buahnya mengakhiri badi kekalahan di laman sendiri, sekaligus mara ke peringkat separuh akhir.

Terengganu berada di landasan terbaik untuk menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik selepas menewaskan Felda 2-1 dalam aksi pertama di Jengka.

Ia memberi kelebihan kepada skuad Penyu menerusi peraturan gol di tempat lawan, namun timbul persoalan sejauh mana kemampuan mereka untuk mencipta kejayaan di laman sendiri selepas gagal melakukannya dalam tiga aksi peringkat kumpulan.

“Kami harus terus ke depan dan memang boleh dikatakan kami menang empat perlawanan di tempat lawan dan ia satu pencapaian yang terbaik.

“Jadi, teruskanlah di tempat sendiri,” kata Irfan.

Irfan yang merupakan bekas pengendali skuad The Fighters dijangka tidak melakukan banyak perubahan dalam kesebelasan utama kecuali melibatkan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris dan Nasrullah Hanif Johan.

Namun, Irfan sedar dia tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan yang pasti mahu mempamerkan kebangkitan.

“Mereka ketinggalan dan sudah tentu lawan akan menyerang. Jadi, kami harus mengawasi beberapa pemain utama mereka, termasuk tonggak di bahagian tengah.” - Arena