Berhempas Pulas Sebelum Layak Ke Separuh Akhir Piala Malaysia


Terengganu FC (TFC) bangkit dari ambang kekalahan untuk menewaskan Felda United 4-3 dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Kuala Terengganu sebentar tadi, sekali gus mara dengan agregat 6-4.

Beraksi selaku pelawat, The Fighters tampak lebih yakin memulakan serangan pada minit kelima yang menyaksikan percubaan leret Gilberto Fortunato dari jarak dekat tetapi dinafikan penjaga gol tuan rumah.

Skuad Felda United bimbingan B. Sathianathan itu mendahului menerusi pertahanan import, Thiago Junior, yang menanduk kemas sepakan sudut Muhammad Danial Amier Norhisham pada minit ke-12.

Pintu gol Terengganu hampir dibolosi buat kali kedua selepas lorongan menarik Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-24 disambar Iain Ramsay, namun tolakannya itu tersasar ke sebelah tepi.

Empat minit kemudian, Ramsay -- pemain kebangsaan Filipina -- sekali lagi mencemaskan kem tuan rumah melalui rembatan lencong kaki kiri yang berjaya ditepis Mohd Suffian Rahman.

Peluang terbaik Terengganu hadir pada minit ke-34 yang berpunca gerakan Ashari Samsudin yang membuat umpanan kepada J. Partiban, malangnya tindakan penyudah pemain sayap tersebut gagal menemui sasaran.

Hanya tiga minit selepas rehat, Felda United menjadikan kedudukan 2-0 selepas bola percubaan pertama Danial Amier ditolak masuk Syamim ke dalam gawang Terengganu yang terbuka luas.

Memasuki minit ke-56, aksi semakin rancak dengan gol pertama Terengganu melalui Lee Tuck yang melepaskan sepakan kencang dari luar kotak penalti menewaskan Mohd Farizal Harun yang terkaku di posisinya.

Mohd Farizal tertewas lagi pada minit ke-68 apabila lambungan pertahanan Terengganu, Adin Aizuddin Ab Latiff, dari sebelah kiri menerjah jaring, namun kedudukan 2-2 tidak kekal lama.

Fortunato meletakkan Felda kembali di depan pada minit ke-78 sebelum Abdul Malik Mat Ariff (m-82) dan Kipre Tchetche (m-86) menceriakan lebih 10,000 penyokong Sang Penyu dengan gol ketiga dan  - Arena