KUALA TERENGGANU: Malang berganda buat pemain tonggak Terengganu FC (TFC), Abdul Malik Mat Ariff yang terpaksa berehat panjang buat kali kedua tahun ini selepas mengalami kecederaan patah tulang rusuk ketika skuadnya bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar minggu lalu.
Pada April lalu, Abdul Malik terpaksa berehat lebih dua bulan kerana kecederaan pada bahagian buku lali.
Ketiadaan pemain yang dilabel 'lipas kudung' berusia 27 tahun itu sudah pasti memberi tamparan hebat buat pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim yang menyasarkan untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini sekurang-kurangnya di tempat ketiga.
"Sebenarnya saya mula terasa sakit selepas menentang Kuala Lumpur di Kuala Terengganu pada 10 Julai lalu akibat dirempuh pemain lawan dan diikuti kali kedua dirempuh pemain PKNS FC pada 14 Julai lalu di Shah Alam.
"Dalam dua aksi itu saya masih mampu membantu pasukan sehingga minit ke-70. Saya tidak tahu tahap kecederaan dialami kerana tidak menjalani pemeriksaan biarpun ada terasa sakit pada bahagian dada.
"Bagaimanapun, ketika menentang Kedah pada 17 Julai lalu, sakit pada bahagian berkenaan semakin kuat dan lebih membimbangkan lagi saya sukar untuk bernafas ketika berlari dan memaksa jurulatih mengeluarkan saya sebelum berakhir pada babak pertama perlawanan.
"Selepas menjalani pemeriksaan, saya terkejut kerana mendapati tulang rusuk saya patah dan pegawai perubatan mengesahkan saya perlu berehat panjang bagi memulihkan kembali kecederaan itu sekali gus meranapkan impian untuk membantu pasukan serta menambah koleksi jaringan," kata Abdu Malik yang hanya meledak satu gol musim ini berbanding ketika muncul pemenang kasut emas kategori pemain tempatan tahun lalu.
Sementara itu, Irfan Bakti memuji semangat kental dimiliki bekas pemain Kuantan FA musim lalu itu yang tetap meneruskan aksi membantu pasukan biarpun mengalami kecederaan serius. - Berita Harian