Irfan Bakti Menaruh Harapan Tinggi


KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim tetap percaya pemainnya akan bangkit selain menaruh harapan tinggi pasukannya mampu menamatkan saingan Liga Super musim ini dalam kalangan tiga terbaik.

Malah jurulatih berpengalaman itu yang berjaya membantu skuad Penyu beraksi dalam saingan Liga Super selepas muncul naib juara Liga Perdana musim lalu juga yakin anak buahnya mampu menang dalam dua aksi terakhir bertemu Kelantan di tempat sendiri malam ini dan Selangor di Stadium Shah Alam, Ahad depan.

"Keyakinan kami berdasarkan prestasi semasa pemain yang dilihat begitu bersemangat untuk menewaskan Kelantan malam ini seperti yang dipamerkan ketika sesi latihan.

"Saya juga percaya pemain mampu melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan untuk merekod kemenangan dalam dua aksi terakhir bagi memastikan impian itu tercapai," ujar Irfan.

Bagaimanapun skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh dijangka menerima tentangan sengit pasukan The Red Warriors kerana skuad bimbingan Yusri Che Lah juga berhajat untuk menang bagi memperbaiki kedudukan dalam liga.

"Walaupun skuad itu kini berada di tangga tercorot liga, tapi saya ingatkan pemain supaya tidak mengambil mudah kerana mereka juga berhajat untuk memburu kemenangan apatah lagi sebahagian besar pemain mereka adalah masih muda.

"Justeru saya harapkan pemain berusaha keras kerana tiada jalan pintas untuk mencatat kemenangan selain perlu mengamalkan disiplin tinggi di tengah padang.

"Pemain juga perlu kreatif dan cerdik serta memanfaatkan peluang terhidang kerana inilah medan terbaik buat pasukan untuk mencatat kemenangan kerana beraksi di laman sendiri sebelum bertandang ke gelanggang lawan bertemu Selangor," kata Irfan yang lega kerana semua pemainnya bebas daripada sebarang kecederaan atau penggantungan. - Berita Harian