KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) tidak rela berputih mata di laman sendiri sebaliknya bertekad mahu mencipta kemenangan bertemu PKNP FC pada saingan terakhir bulan Ramadan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.
Selain itu, anak buah Irfan Bakti Abu Salim juga berazam mahu menebus kehampaan tewas 1-2 dalam aksi pertama dengan skuad itu di Stadium Perak, Selasa lalu.
Pemain tengah, Abdul Latiff Suhaimi berkata, kekalahan kepada skuad itu empat hari lalu mahu dilupakan segera sebaliknya akan memberi fokus 100 peratus dalam perlawanan malam ini untuk mencatat kemenangan.
"Dalam sesi latihan selain taktikal yang diatur kami juga turut diberi motivasi oleh jurulatih dalam misi untuk membenam cabaran skuad muda PKNP FC itu bagi mengutip tiga mata di laman sendiri.
"Kami percaya ramuan yang diadun jurulatih mampu memerangkap pemain lawan yang sudah pasti mahu melebar rekod kemenangan ke atas kami," kata pemain berusia 29 tahun itu.
Bagaimanapun bekas pemain kebangsaan itu sedar bukan tugas mudah buatnya dan rakan sepasukan untuk menjinakkan skuad itu yang liat untuk ditewaskan ditambah pemain import mereka bijak menghidu peluang.
"Pasukan mereka mempunyai pemain muda yang sentiasa bekerja keras sebagaimana ketika aksi pertama di Ipoh. Oleh itu kami harus awasi supaya mereka tidak dapat bergerak bebas dan melakukan percubaan berbahaya dalam kawasan gol.
"Bagaimanapun kami yakin mampu bangkit memenangi perlawanan itu sebelum berehat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan kekalahan dalam dua perlawanan berturut-turut bermula dengan pasukan Kuala Lumpur (0-3) pada 2 Jun lalu dan terbaharu dengan PKNP FC itu diharap tidak berulang dalam perlawanan malam ini," kata Latiff. - Berita Harian