Tonggak pertahanan Terengganu FC (TFC), Igor Zonjic, melaungkan keyakinan mampu mengekang pergerakan penyerang berbisa Kuala Lumpur, Guilherme De Paula, menjelang pertemuan dua pasukan itu, malam ini.
Ketajaman penggempur skuad ibu kota itu, yang sudah mencetak enam gol dalam kancah Liga Super, pasti menjadi sandaran Fabio Maciel untuk merobek kubu Sang Penyu di depan penyokong sendiri.
Zonjic, 27, begitupun tidak mahu membiarkan Guilherme bermaharajalela, sebaliknya bersedia menjadi 'bayang-bayang' pemain itu sepanjang 90 minit perlawanan.
"Sudah menjadi tugas saya untuk mengawal kelibat penyerang pasukan lawan selain memastikan kubu TFC tidak dibolosi.
"Gandingan bersama Nasrullah Haniff (Johan) juga semakin baik. Saya yakin semuanya akan berjalan lancar," kata pemain kelahiran Serbia itu.
Dalam masa sama, Zonjic menuntut komitmen 100 peratus rakan-sepasukannya dalam memastikan Sang Penyu tidak berputih mata untuk terus memberi tekanan kepada tiga pasukan teratas.
"Mungkin ramai memilih Terengganu (untuk menang) tetapi kami perlu serius menghadapi perlawanan ini kerana setiap perlawanan adalah sukar.
"Sekiranya rakan-sepasukan berhati-hati, bersabar dan mengikut arahan jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim), tiada masalah untuk meneruskan rentak kemenangan," tambahnya. - Arena