PENJAGA gol utama Terengganu Football Club I (TFCI), Wan Muhammad Azraie Wan Teh berkemungkinan besar kehilangan posisinya dalam kesebelasan utama pada aksi Liga Super menentang kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Perak, Ipoh malam ini.
Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau masih tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan prestasi buruk Wan Muhammad Azraie yang melepaskan gol-gol mudah sehingga skuad Penyu dibelasah 3-0 oleh Kuala Lumpur pada aksi Sabtu lalu.
“Saya akan berbincang dengan jurulatih penjaga gol (TFC I) terlebih dahulu siapa penjaga gol yang akan diturunkan untuk menentang PKNP FC esok (malam ini).
“Apa pun yang pasti saya akan melakukan rombakan pada skuad TFC I bagi memastikan tiga mata berharga pada perlawanan itu,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Selain Wan Muhammad Azraie, TFC I memiliki tiga lagi penjaga gol iaitu Mohd. Suffian Abdul Rahman, Syazwan Yusoff dan Faizal Yusoff.
Irfan berkata, beliau akan memastikan hanya pemain yang benar-benar bersedia dan cergas akan diturunkan bagi mengharungi aksi de–ngan skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu.
Katanya, beliau juga telah merangka strategi ampuh untuk memerangkap PNKP FC di gelanggang lawan.
“Kemenangan dengan PKNP FC amat penting untuk memulihkan semula moral pemain yang terjejas teruk akibat kekalahan de–ngan Kuala Lumpur.
“Tiga mata berharga itu juga membolehkan kita terus menghambat pendahulu liga (Johor Darul Ta’zim), sekali gus kembali ke landasan untuk memburu tiga terbaik liga musim ini,” katanya.
- Kosmo