Lee Tuck Mahu Tebus Kesilapan


KUALA TERENGGANU: Arkitek Terengganu FC (TFC) kelahiran Halifax England, Lee Tuck mengakui dia sengsara dan tidak sanggup melihat rakan seperjuangan bermandi peluh ketika pasukannya melayani kunjungan Melaka United (MU), Sabtu lalu.

Biarpun terpaksa menjadi penonton berikutan digantung satu perlawanan kerana menerima tiga kad kuning, rasa bersalahnya kerana tidak dapat membantu pasukan terubat apabila pasukannya menang tipis 1-0 dalam perlawanan itu.

Justeru, pemain yang digelar Rooney Terengganu itu bertekad menebus kehampaan dengan memperagakan aksi terbaik ketika berdepan Kuala Lumpur Sabtu ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

"Sukar bagi saya untuk menelan kepahitan apabila terpaksa menjadi penonton dalam perlawanan bertemu MU tempoh hari, tapi saya gembira kerana tanpa saya rakan sepasukan mampu beraksi dengan baik sehingga mencatat kemenangan.

"Sasaran saya bertemu Kuala Lumpur nanti cukup mudah iaitu untuk menang, hal ini ditambah dengan kemenangan kali ketiga berturut-turut bakal menyuntik lagi semangat kami untuk meraih kejayaan keempat.

"Namun begitu sebagai pemain kita tidak boleh memandang mudah keupayaan lawan sebaliknya kita juga harus menghormati barisan pemain skuad Kuala Lumpur dan yang paling penting kita perlu bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan," kata pemain yang memulakan kariernya bersama kelab Halifax Town ketika berusia 19 tahun.

Ketika ditanya adakah dia bakal bermain secara agresif lagi selepas digantung satu perlawanan sebelum ini, pemegang rekod jaringan paling jauh setakat ini dalam Liga Malaysia (Liga M) tetap mahu beraksi dengan corak permainannya.

"Saya tidak akan mengubah corak permainan agresif saya tapi dalam masa sama akan berhati-hati untuk mengelak daripada menerima kad kuning atau merah," kata Tuck. - Berita Harian