Irfan Bakti Optimis


KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim optimis sasaran untuk berada dalam kelompok tiga tempat teratas Liga Super musim ini mampu dicapai sekiranya pemain memperagakan aksi konsisten dalam tujuh perlawanan terakhir.

Jurulatih berpengalaman itu berkata, pemain juga harus ada mentaliti ke arah itu serta terus positif memburu kedudukan lebih baik selepas impian untuk mencabar pendahulu liga, Johor Darul Tazim (JDT) bagaikan sudah tertutup.

"Hendak mengejar JDT sekarang memang sukar, tapi sasaran saya adalah tiga tempat teratas liga kerana saya mahu membawa skuad TFC bersaing semula

"Sasaran ini tidak mustahil, tapi dengan syarat semua pemain perlu bekerja lebih keras lagi dan terus konsisten untuk memburu kemenangan dalam tujuh aksi terakhir liga," katanya.

Pada 2011 ketika membimbing skuad Terengganu, Irfan membawa pasukan itu muncul juara Piala FA dan berikutan kejayaan itu skuad Penyu layak beraksi dalam saingan Piala AFC buat kali pertama  pada tahun 2012 namun di bawah kendalian Mat Zan Mat Aris.

TFC mengumpul 24 mata daripada 15 perlawanan dengan merekod tujuh kemenangan, tiga seri dan tewas lima kali kini berada di tangga kelima liga, namun perbezaan tiga mata dengan pasukan Perak yang menghuni tangga kedua liga mampu diatasi anak buah Irfan jika terus merekod kemenangan.

Mengulas lanjut, Irfan yang membantu TFC beraksi semula ke saingan Liga Super musim ini selepas muncul naib juara Liga Perdana musim lalu, bagaimanapun mengharapkan pemainnya segera mengikis sikap cepat lemah semangat terutama ketika ketinggalan dan tertekan.

"Sebagai pemain profesional, sikap itu harus diketepikan sebaliknya pemain perlu ada semangat yang kental untuk bangkit sekalipun ketinggalan kerana dalam bola sepak apa-apa keputusan boleh berlaku tetapi apa yang penting pemain tidak boleh putus asa dan terus bersaing," katanya.  - Berita Harian