Irfan Bakti Lega, Perlawanan Sukar Sebelum Cuti Raya


KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui pemainnya terpaksa 'mandi peluh' sebelum menang 2-1 ke atas PKNP FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam semalam.

Tambah Irfan Bakti, anak buahnya hampir 'dijerat' barisan pemain muda PKNP FC terutama pada 20 minit terakhir, namun semangat juang tinggi serta berdisiplin berjaya mengekalkan keputusan itu hingga tamat perlawanan.

"Perlawanan yang begitu sukar buat pemain kami walaupun beraksi di laman sendiri, pemain muda mereka bekerja keras hingga penghujung babak kedua untuk memburu gol penyamaan.

"Dalam masa sama saya begitu bimbang hantaran bola tinggi pihak lawan apatah lagi rata-rata pemain kami adalah pemain paling rendah dalam saingan Liga Super musim ini sudah pasti menyukarkan pemain untuk mengawal.

"Namun kami menarik nafas lega apabila anak buah beraksi mengikut arahan dan paling gembira apabila berjaya mencatat kemenangan sekali gus menamatkan kekalahan dalam dua aksi terakhir selain badi kekalahan kepada skuad itu dalam tiga perlawanan terdahulu termasuk dalam saingan Liga Perdana musim lalu," kata Irfan Bakti.

Dalam pertembungan membabitkan pendatang baharu Liga Super itu, skuad Penyu berjaya membalas dendam kekalahan lalu apabila dua tonggak importnya iaitu kapten, Kipre Tchetche dan Lee Tuck masing-masing meledak satu gol manakala jaringan tunggal PKNP FC menerusi tandukan Kim Sang Woo.

Mengulas aksi dipamerkan pemain pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris yang mengambil posisi pemain import dari Montenegro, Igor Zonjic yang tidak dapat diturunkan kerana menerima tiga kad kuning, jurulatih berusia 67 tahun mengakui pemain berusia 24 tahun itu mampu menggalas tugas itu dengan berkesan.

"Kami puas hati aksi pemain pertahanan biarpun tanpa Zonjic, Amirzafran yang menggalas tugas itu beraksi dengan baik walaupun ada dua kesilapan tidak harus dilakukan pemain itu," kata Irfan Bakti. - Berita Harian