Irfan Bakti Buat Rombakan Kecil


KECEWA selepas diaibkan Kuala Lumpur dengan kekalahan 0-3 Sabtu lalu, ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim menggesa anak buahnya supaya tidak lagi mengulangi kesilapan mudah kerana ia boleh membunuh semangat pasukan.

Selain itu, Irfan Bakti yang bakal menerapkan idea baru bagi memastikan hasrat mengutip tiga mata dalam pertemuan dengan PKNP FC di Stadium Perak malam esok dapat dicapai, turut menuntut pemainnya beraksi hingga minit terakhir perlawanan sambil berusaha meledak jaringan awal.

Beliau juga akan melakukan beberapa rombakan bagi memastikan pemain yang disenaraikan benar-benar bersedia dan cergas untuk mengharungi perlawanan.

“Kekalahan kepada Kuala Lumpur meninggalkan kesan mendalam kepada barisan jurulatih dan pemain kerana kita yang menguasai perlawanan terutama pada babak pertama dan sepatutnya menang, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana kesilapan individu.

“Justeru untuk pertemuan dengan PKNP malam esok, kami akan melakukan perubahan dan pertukaran pemain bagi memastikan hasrat mencatat kemenangan tercapai,” ujar Irfan Bakti.

Ketika ditanya adakah penjaga gol akan bertukar, beliau yang kecewa dengan tahap persembahan Wan Muhammad Azraie Wan Teh yang melepaskan gol mudah dalam aksi bertemu skuad The City Boys enggan mengulas lebih lanjut sebaliknya memaklumkan akan berbincang dengan jurulatih lain terlebih dulu.

“Dengan masa yang ada ini kami akan menyusun strategi berbeza kerana sedar lawan bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan apatah lagi beraksi di laman mereka.

“Namun, saya ingin lihat pemain bangkit menebus kembali kehampaan itu sambil menjadikan kekalahan kepada Kuala Lumpur sebagai pengajaran berguna,” kata Irfan Bakti.

Skuad TFC mengikat pemain import dari Korea Selatan yang juga bekas pemain Kelantan, Do Dong-hyun petang semalam bagi menggantikan Lee Jun-hyeob dan dijangka menurunkan pemain itu malam esok. - Harian Metro