Igor Zonjic Jadi Penonton Malam Ini


KUALA TERENGGANU: Misi Terengganu FC (TFC) mahu membalas dendam kekalahan kepada PKNP FC malam ini, sedikit terjejas apabila tonggak pertahanan importnya, Igor Zonjic diketepikan susulan menerima tiga kad kuning.

Ketiadaan bekas pemain skuad kebangsaan Montenegro itu pasti meresahkan kem skuad Penyu yang mahu membalas dendam kekalahan 1-2, dalam aksi pusingan pertama Liga Super di Stadium Perak, Selasa lalu.

Bagaimanapun ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui tidak begitu bimbang dengan situasi itu sebaliknya yakin pemainnya mampu melaksanakan tugas dengan berkesan dalam pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

"Kita sudah ada pengganti Zonjic iaitu Amirzafran (Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris), dan saya yakin pemain muda berusia 24 tahun itu mampu memikul tugas itu dengan berkesan di posisi pertahanan bersama rakan sepasukan," kata Irfan.

Dalam perkembangan lain, Irfan Bakti yang berang dengan prestasi pemainnya dalam dua aksi terakhir menuntut anak buahnya menghindarkan 'penyakit' cepat luntur semangat dalam misi menumpaskan PKNP FC itu.

Pengendali berusia 67 tahun itu memberi amaran kepada pemainnya supaya tidak mengulangi kesilapan seperti yang dilakukan pada dua aksi terakhir - bertemu Kuala Lumpur (KL) dan PKNP FC dalam perlawanan pertama.

"Hasil analisis selepas tewas dalam dua aksi terakhir itu mendapati, pemain mudah luntur semangat terutama selepas ketinggalan, itu antara punca utama kami gagal meraih minimum satu mata.

"Contohnya, ketika bertemu PKNP FC, kita meledak gol pendahuluan perlawanan, malah kita menguasai perlawanan itu, tetapi apabila kita ketinggalan, semangat pemain kelihatan luntur. Masalah sama berlaku ketika berdepan KL.

"Untuk pertemuan dengan PKNP FC kali ini, saya ingatkan pemain, perlawanan bola sepak adalah panjang dan setiap pemain harus ada semangat juang yang tinggi untuk kembali bangkit sekiranya ketinggalan sekali gus mampu merubah keputusan," kata Irfan.

Pada masa sama, beliau turut mengharapkan penyerang import baharunya, Do Dong Hyun dapat segera menyesuaikan diri dalam pasukan. - Berita Harian