Kuala Terengganu : Tiga jaringan ketua pasukan, Kipre Tchetche, menyelamatkan Terengganu FC (TFC) daripada dimalukan Negeri Sembilan selepas mencatat kemenangan 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
"Mendebarkan,"
Itu kata pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, selepas melihat skuad bimbingannya bangkit dari ketinggalan untuk menang 3-2 ke atas Negeri Sembilan, malam tadi.
Tiga mata itu tidak hadir dengan mudah ujarnya dengan kelonggaran di jentera tengah dan pertahanan hampir mengecewakan TFC selain persembahan longlai pemain import, Do Dong-hyun, yang dikeluarkan selepas rehat.
Irfan memasukkan Ashari Samsuddin untuk memberi tekanan selepas melihat skuad bimbingannya terlalu memberi ruang kepada Negeri Sembilan sehingga membenarkan pemain lawan bergerak bebas.
"Dong-hyun gagal menjalankan tugasnya dengan baik dan saya memperbaiki jentera tengah kerana kami tewas pertembungan di posisi itu.
"Hanya ada (Andrew) Lee Tuck dan Thierry (Chantha Bin) di bahagian tengah sedangkan Negeri Sembilan mendominasi dengan tiga pemain di situ," jelasnya.
Lebih merisaukan Irfan ialah sikap sambil lewa pemain-pemainnya di awal permainan yang tidak agresif dan kurang berkesan dalam melakukan tindakan penyudah.
Malah, kerapuhan benteng pertahanan juga mendapat perhatian sehingga Terengganu dibolosi dua gol ketika babak pertama berbaki dua minit.
"Pemain lawan begitu mudah melepasi situasi satu lawan satu terutama Adib (Aizuddin) di sebelah kiri selain kesilapan kami dalam mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.
"Saya memberitahu pemain-pemain agar segera bangkit kerana masih ada 45 minit dan mujur mereka tidak berputus asa," tambah Irfan. - Arena